Saturday, December 12, 2009

Kisah disebalik Inspirasi Hidup

“Arwah Aisyah meninggal dunia ketika masih di dalam kandungan”, luah emak pada petang itu. Pengcahayaan kurang. Namun, jelas kelihatan air mata mengalir perlahan di pipinya.

Saya hanya berdiam diri, kekok untuk memberikan reaksi. Arwah Aisyah merupakan adik selepas saya. Adik yang tidak saya ingat wajahnya.

“Kamu sendiri hampir-hampir tidak dilahirkan…”, sambung emak.

Saya tersentak. Apakah benar apa yang saya dengar? Sememangnya tidak silap. Saya hampir tidak dilahirkan atas sebab-sebab tertentu.

“Itulah, kesukaran ketika mengandung dan melahirkan…”, luahan hati seorang emak.

Bukan hanya sakit yang ditanggung. Mainan emosi turut perlu ditangani. Masakan tidak pedih, hati seorang isteri, andai suami tidak bijak menghargai. Lebih sedih apabila anak-anak lupa diri. Lupa pada siapa yang mengandungkan dan melahirkan mereka. Lupa kepada emak yang mendidik dan menjaga.

Perbualan di atas kekal dalam memori saya. Memberikan inpisari bahawa saya terpilih untuk dilahirkan ke dunia oleh takdir Allah swt adalah tidak sia-sia.

Berbahagialah dirimu, adikku Aisyah di syurga, memberikan inspirasi buat kakak yang terpilih untuk hidup berusaha sehabis baik agar bertemu dengan mu di sana kelak.

Inilah kisah utama di sebalik kata-kata Inspirasi Hidup yang saya abadikan disebelah kanan blog ini. “Aku tidak dijadikan sia-sia”.

Berdepan Maut

Peristiwa kedua pula ialah ketika perjalanan pulang bersama ayah melalui lebuh raya. Ketika itu hujan turun maha lebat. Saya yang tidur semasa perjalanan akibat keletihan, terjaga.

“Lebatnya hujan”, tegur saya buat ayah disebelah. Mamai sekali.

Selepas beberapa ketika, kereta berpusing. Inilah akibat air bertakung menyebabkan tayar tidak dapat mencengkam dengan baik. Saya sempat memaut tangan ayah disebelah. Ternyata ketenangan ayah, sedikitpun dia tidak melatah. Saya yang disebelah sempat bertakbir. Cemas. Kepala terhantuk beberapa kali ke tingkap pintu. Pusingan 360 darjah sebanyak tiga kali cukup membuatkan saya tergamam dan dada berdegup kencang.

Hujan masih lebat di luar. Ketika itu hati terdetik, mujurlah tiada kereta lain yang mengikut dibelakang. Mujurlah kereta berpusing dan tersadai di tepi jalan. Mujur? Apakah ini hanya satu kebetulan? Allah izinkan untuk terus hidup. Justeru, hidup ini pasti bukan untuk disia-siakan!

Inspirasi Tersendiri

Inilah kisah disebalik kata-kata yang menjadi inspirasi hidup saya.

Anda pula bagaimana? Kisah kita berbeza. Namun matlamatnya sama. Percayalah bahawa setiap daripada kita tidak dijadikan sia-sia. Carilah kisah disebaliknya. Kisah tersendiri!

Rasulullah menerima inspirasi terus daripada Allah swt. Kehidupan yang penuh mencabar, namun tetap sabar. MasyaAllah.

Walaupun kita tidak menerima wahyu seperti Rasulullah, jangan kita lupa bahawa qalam Allah itu sentiasa ada sebagai panduan buat kita. Kadangkala, Allah berbicara dengan hambaNya. Bicara tentang ujian dan kehidupan. Samada kita tidak mendengar dan melihat, ataupun mata hati yang buta.

Tidak Aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk mengabdikan diri kepada-Ku“. Surah Az-Zariyat: 56.

“Ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat:’Sesungguhnya aku hendak menjadikan seseorang Di muka bumi.’Mereka berkata: ‘Mengapa Engkau hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi itu, orang yang akan membuat kerusakan padanya dan menumpahkan darah, padahal kami senantiasa bertasbih dengan bertasbih dengan memuji Engkau dan menyucikan Engkau?’ tuhan berfirman: sesungguhnya Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui.’” Surah Al-Baqarah:30




Perkara yang sudah dan akan kita lalui. Apakah diri kita ditakdirkan semuanya sekadar sia-sia?

No comments: